Turun dan Naik

Perangai manusia sentiasa bertukar-tukar. Sudah namanya manusia, pasti ada turun naik. Kita bukan malaikat, jauh sekali iblis dan syaitan. Apabila ada naik dan turun, sudah pasti kita perlu berusaha untuk sentiasa naik. Apa yang ingin dinaikkan? Pastinya sifat positif yang ada dalam diri kita. Semakin hari semakin inginkan perkara yang baik-baik datang, berfikir tentang perkara baik, melakukan perkara yang terbaik, dan mengharapkan natijah yang sampai dalam diri ini adalah daripada kalangan yang terbaik.

Namun, kita sedar yang hidup umpama roda. Kita bukan selamanya di atas. Ada ketika perasaan kita, jiwa kita dan kekuatan kita boleh jatuh ke tahap paling bawah. Lebih bawah daripada letakkan tapak kaki kita. Kita menjadi hilang arah, tercari-cari di mana rasa positif yang ada pada diri kita sebelum ini. Bukankah sebelum ini aku seorang yang kuat?

Dengan rasa penuh kehambaan, tunduklah mencari semangat kita yang telah jatuh tadi. Duduknya di bawah, tempat kaki kita berpijak. Tumpukan tujuh anggota; kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut, kedua-dua kaki dan dahi menghadap kepada Yang Maha Esa. Allah lah tempat kita kembali, tempat kita adukan permasalahan dan zahirkan kegembiraan. Gembira hanya kepada Allah, dan berduka juga kepada Allah. Kekuatan kita wujud apabila kita berasa dekat dengan Allah, kerap bersujud dan meminta kepada-Nya. Kita mahukan perkara yang terbaik, maka carilah Allah Yang Maha Terbaik.

Comments

Popular posts from this blog

Nikmat Sihat dan Masa Lapang

Kenangan di Telaga Biru

Belajar Melalui Kehidupan