Kenangan di Telaga Biru


Pengalaman dua tahun di Telaga Biru memang terlalu lama bagiku kerana tidak sangka kerja sambilan yang ingin dilakukan sebelum ini adalah pekerjaan tetap aku sehingga tarikh 31 Mac 2013. Aku menyenangi keramahan staf di sana sebermula aku menghadiri sesi temuduga sehinggalah hari terakhir aku di sana. Inilah kenangan paling manis yang aku peroleh apabila dapat merasakan kemanisan ukhuwah bukan sahaja sesama rakan sekerja, bahkan barisan ketua yang terlebih dahulu mendapat pengalaman kerja sebelum ini.

Beliau insan yang paling merendah diri pernah aku kenal. Hari pertama bekerja, beliau meminta untuk melihat resume aku semula. Dari biliknya, aku terdengar dia memanggil dan berkata: "Hari lahir kita sama, cuma tahun berbeza." Sejak itu, beliau pasti akan mengulang-ulang tentang persamaan tarikh lahir kami; 20 Mei. Sebagai seorang ketua bagi jabatan kami, beliau tidak pernah menggelarkan setiap pertemuan kami yang membincangkan tentang kerja sebagai "mesyuarat". Beliau berharap agar "usrah" dalam setiap perbincangan yang kami lakukan bukan hanya urusan kerja semata-mata, tetapi ada nilai pengajaran dan dakwah yang ingin diperoleh oleh setiap daripada kami. Pembukanya adalah tazkirah ringkas dan pengakhirannya adalah amanat yang sentiasa diperingatkan. Beliaulah ketua yang sentiasa bertanyakan tentang kepayahan dan kesusahan aku ketika melakukan kerja yang diberi, malah tidak jemu meminta maaf kerana perlu melakukan kerja tersebut, sedangkan kerja itulah amanah yang telah diberikan. Beliau juga seorang guru yang sentiasa bertanyakan urusan pengajian aku, malah menjadi insan pertama yang menyokong permohonan aku untuk menamatkan perkhidmatan di sana untuk menyelesaikan pengajianku. Beliau juga seorang bapa yang pasti akan bertanyakan tentang makanan, minuman, malah wang perbelanjaanku sama ada mencukupi atau tidak, dan pernah menawarkan untuk memberi wang jika aku memerlukan, sedangkan aku adalah seorang pekerja yang mendapat gaji setiap bulan. Terlalu banyak kisah baik tentangnya yang belum mampu untuk aku catatkan. Semoga Ustaz Pahrol Mohamad Juoi sentiasa berada dalam lindungan Allah dan dipanjangkan usia untuk terus-menerus menulis agar dapat menggerakkan setiap hati manusia yang membaca coretannya untuk berubah kepada perkara kebaikan lalu sedikit demi sedikit menjauhi perkara mungkar.

Buat Kak Husna yang tidak jemu berkongsi ilmu dan pengalaman, perkenalan dengannya ada perkara yang terindah. Setiap cerita yang dikongsi, pasti ada ilmu yang membuatkan aku untuk terus berfikir dan tidak mengambil mudah dalam setiap perkara yang berlaku dan akan dilakukan. Sikap "along" yang ada pada dirinya menjadikan aku sentiasa berasa "selamat" untuk sama-sama di medan ini suatu ketika dahulu. Amirah yang tidak pernah dipanggil kakak sentiasa mengajar aku  untuk tidak perlu berputus asa dan sentiasa berusaha. Bicaranya yang diam itu menunjukkan bahawa usaha adalah sesuatu yang perlu digerakkan oleh tangan, bukan dibiarkan di mulut semata-mata.

Berada di Jabatan Penerbitan Majalah suatu ketika dahulu terlalu banyak mengajar perkara kebaikan buatku dan membuatkan aku sentiasa menerima kebaikan daripada kalian. En Ismail yang menjadi mentor setia, terima kasih untuk tunjuk ajar yang diberi lebih-lebih lagi untuk aku mengendalikan Solusi. En Azzam yang sentiasa memberi peluang dan ruang. En Halim yang menjadi "alarm" untuk artikel yang melepasi deadline. Ustaz Luqman yang sentiasa bertukar-tukar idea. Ustaz Umar yang selalu menjadikan ilmuku bertambah dan berkembang atas perbalahan yang dicetuskan. Haffiz dan Rahmat yang menceriakan. Ustaz Wahid dan En Aied yang banyak membantu. Ustaz Fauwaz yang paling pemurah dari segi wang dan ilmunya. Aizuddin yang perlu berusaha keras untuk memajukan majalah. Adik-adik; Wanza dan Jamilah yang terlalu banyak aku berhutang atas ilmu penyuntingan yang tidak sempat disampaikan. Emira yang sentiasa bersemangat menceriakan. Terima kasih semua!

Comments

Popular posts from this blog

Nikmat Sihat dan Masa Lapang

Belajar Melalui Kehidupan