Wahai Hati...

Wahai hati,
Kau menjadi kekuatan utama dalam diri manusia untuk mengawal setiap perlakuan kami. Kau hanya seketul daging yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar begitu juga bukan dapat disentuh oleh tangan manusia. Benar, dudukmu dalam diri manusia yang diakui kewujudannya pada diri kami. Jika kau baik, maka baiklah perjalanan diri kami. Namun, sebaliknya berlaku jika kau bertindak luar kebiasaan.

Wahai hati, 
Kau berada jauh dari mata, namun kau mendahului perananmu sebelum mata melihat dan memandang sesuatu. Kau juga jauh dengan bibir dan lidah yang menuturkan pelbagai kata-kata, tetapi kau masih mendahului rangka barisan kata-kata yang akan diucapkan di bibir. Kaki dan tangan juga tidak terletak berhampiran denganmu, namun kau juga yang merajai kedua-duanya. Biarpun tangan mampu mencari di mana letaknya kau, ia hanya mampu diraba dan dicari dari luar sahaja.

Wahai hati,
Sentiasalah beringat dalam memimpin anggota lain yang ada pada tubuh ini. Kembalikan fitrah manusia yang sentiasa inginkan perkara kebaikan. Kami juga tahu bahawa asal-usul kau adalah putih, bersih dan polos, oleh itu jangan kau benarkan titik hitam tercalit padanya.

Wahai hati, 
Andai kau pernah remuk, kau patut bersyukur kerana sakit itu boleh diubati. Luka itu boleh dibaluti. Parutnya juga boleh dihapuskan. Biarpun bukan insuran dunia yang dapat menggantikannya, namun pintu taubat Allah, sebagai Pencipta manusia dan sekalian alam sentiasa terbuka buat diri yang mencarinya.

Comments

ar-razi said…
Satu pesanan kepada hati yang hebat kak. Terima kasih kerana berkongsi. Sangat-sangat memberi manfaat.
Khadijah20Mei said…
Apa yang baik, ambillah. Yang tidak baik, tegur akak. Semoga ia bermanfaat untuk kita semua. Dan, terima kasih banyak-banyak kerana sudi membaca tulisan akak di blog ini! :)

Popular posts from this blog

Kenangan di Telaga Biru

Turun dan Naik

Nikmat Sihat dan Masa Lapang