Bertekunlah untuk Ilmu

Peristiwa demi peristiwa terakam dalam akhbar beberapa minggu ini. Bahkan, bukan minggu atau bulan, dan mungkin tahun. Anak hilang, anak lemas, anak meninggal dan semua peristiwa sedih menimpan kanak-kanak bawah umur.

Andai zaman jahiliah yang menanam dan membunuh anak perempuan hidup-hidup juga mempunyai akhbar untuk merakam semua peristiwa kematian anak-anak perempuan pada zaman itu, pasti ia sama berlaku kini. Setiap hari pasti dihidangkan berita yang sama! Bezanya, zaman kini tidak mengenal jantina; lelaki atau perempuan.

Andai anak tersedak susu di pusat jagaan, pasti disalahkan orang yang seharusnya menjaga. Andai anak tersebut dirogol dan dibunuh, sibuk dicari perogol dan pembunuhnya. Dan begitulah seterusnya mencari pesalah yang menyebabkan kejadian ini berlaku.

Peristiwa demi peristiwa yang berlaku dapat saya simpulkan tentang suatu perkara. Saya melihat latar belakang ibu bapanya, terutama dari umur mereka. Nah, jangkaan saya tidak tersasar! Rata-rata umur ibu bapa mangsa adalah tidak sampai 30 tahun lagi, bahkan lebih muda daripada 25 tahun.

Lantas, saya teringat artikel Dr Harlina dalam Solusi tentang keibubapaan. Artikel itu benar-benar memberi perkaitan yang sangat mendalam rentetan peristiwa yang berlaku. Menurut beliau, kebanyakan ibu bapa muda ini "tidak sedia keibubapaan" mereka untuk menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Ketika banyak pihak sibuk menggalakkan keperluan berkahwin awal dan kemanisan yang akan diperoleh buat pasangan muda ini, saya merupakan pihak yang bertentangan dengan mereka. Jika masih bergantung sumber kewangan daripada penaja atau pinjaman, ketahuilah ia hanya bertahan selama tiga atau empat tahun. Begitu juga dengan tajaan daripada keluarga atau ibu bapa. Saya tidak memandang ia sebagai satu sokongan padu daripada mereka buat anak-anak mereka, bahkan sebuah "kemanjaan" yang akan berlarutan sehingga anaknya beranak pinak kelak!

Dalam artikel beliau, yang paling ingin ditekankan ialah kemantapan keibubapaan terlebih dahulu sebelum mempunyai anak. Benar, belajar adalah proses mencari pengalaman. Namun, mendidik anak itu memerlukan kemantapan keibubapaan daripada pasangan muda ini terlebih dahulu sebelum mencipta apa-apa pengalaman. Lihat sahaja peristiwa kematian kanak-kanak yang berlaku baru-baru ini, berapa umur ibu bapa mereka? Apa yang mereka buat sehingga tidak menyedari kehilangan anaknya? Apa usaha mereka untuk menghalang anak yang baru pandai berjalan untuk tidak berjalan terlalu jauh sepanjang ketiadaannya di rumah? Seharusnya, ibu dan bapa muda ini saling mempersiapkan diri mereka terlebih dahulu sebelum kelahiran anak-anak mereka.

Begitu juga artikel Ustaz Umar dalam Gen-Q tentang jangan sampai terpesong dari jalan ilmu. Bagi saya sendiri, usia pelajar lepasan sekolah, matrikulasi, diploma dan ijazah kini sangat berharga itu mencari ketekunan ilmu. Apabila tarikannya telah tegang, percayalah ia akan dilepaskan untuk pergi lebih jauh. Sufyan al-Thauri berkata: "Sesiapa (pelajar) yang menikah, seolah-olah ia sedang berlayar di tengah-tengah lautan. Apabila melahirkan anak, maka pecahlah kapalnya."

Saya bukan seorang yang layak untuk berkata tentang keibubapaan, namun saya pasti, bukan saya sahaja yang mengetahui tentangnya, bahkan seorang anak kecil juga tahu bahawa siapa itu ibu, siapa itu ayah dan apa tanggungjawab asas buat mereka kedua-keduanya. Ayah pergi kerja, mak masak di dapur. Perjalanan saya sendiri masih jauh dan tidak tahu apa yang akan berlaku kepada saya nanti. Tulisan ini sekadar perkongsian pendapat buat pembaca blog ini.

Comments

ZahirahzahiD said…
Kak, ada pendapat mahu di utarakan.. namun ke'MALAS'an yang beraja dalam diri menjadikan diri sangat tidak bermotivasi untuk menyusun kata. Aduhlaaa~
Khadijah20Mei said…
Ala, kongsilah pendapat tu. Kongsilah ye kalau awak rasa kerajaan malas awak tu dah tumbang. :D. Bab susun kata tu, tak pe. Tulis je, tak perlu susun. Mmg tugas editor menyusun kata penulis. He.

Popular posts from this blog

Kenangan di Telaga Biru

Turun dan Naik

Nikmat Sihat dan Masa Lapang