Sunday, May 29, 2016

Gembira dan Bahagia dalam Senyum


Ada banyak sebab kita perlu terus senyum di dunia ini. Carilah gembira dan bahagia yang sememangnya ada di sekililing kita!

gambar: Aika Nuha Maysara

Wednesday, May 25, 2016

Bagaimana Syukur dan Sabar Kita?

Abu Dhabi - Dubai Highway, Januari 2016

Sepatutnya, qada' dan qadar itu memberi kita banyak pengajaran. Sudah tentulah hikmah yang paling tiada tandingan. Itupun jika kita benar-benar mengambil iktibar atas setiap ketentuan dan ketetapan Allah buat kita.

Pertama, mengajar kita untuk bersyukur. Inilah rezeki buatku pada kali ini. Allah tetapkan aku mendapat bahagian ini dan tidak bahagian lagi. Allah tidak berikan kita sesuatu yang telah Allah berikan kepada orang lain kerana perancangan Allah untuk kita itu lebih cantik. Dia berikan kita nikmat yang tidak pernah kita jangkakan. Hanya jika kita bersyukur atas setiap kurniaan dan ujian daripada-Nya.

Kedua, sabar. Bersabarlah jika ketetapan Allah adalah Dia masih belum memakbulkan permintaan kita. Doa yang kita panjatkan hari-hari harus diteruskan. Kenapa perlu sangsi sama ada Allah itu dengarkah doa kita. Ketahuilah, Allah Maha Mendengar, Allah Maha Mengetahui. Tugas kita hanya bersabar dan terus berdoa.

Cukup dua agar kita sentiasa fikirkan; bersyukur dan bersabarkah aku ketika menerima qada' dan qadar Allah?

Sunday, May 22, 2016

Salah Kita


Manusia terlalu ego mengakui kesilapan. Bukan semua, sebahagian sahaja. Lebih mudah mencari punca sesuatu perkara itu berlaku dalam diri orang lain. Mencari lagi bukti kononnya itu bukan salah dirinya. Terlampau asyik memandang diri orang lain sehingga terlupakan diri sendiri.

Bukan tidak boleh membela diri. Benar, perlu menegakkan kebenaran. Namun, cuba diam seketika. Diam bukan untuk mengalah dan kalah. Ini bukan pertandingan untuk menentukan siapa menang, siapa kalah. Inilah cara kita bertenang sambil memikirkan rasional atas setiap perkara yang berlaku. Manusia tidak seharusnya mudah-mudah menjatuhkan hukum salah kepada orang lain. Bertenanglah dan ambil masa untuk kita koreksi diri. Kitakan manusia, boleh jadi memang salah kita. Jika terbukti bukan salah kita, fikirkan semula mengapa perkara ini terjadi. Yang pasti, ini adalah ujian yang Allah takdirkan buat kita, yang membawa kita untuk berfikir tentang pengajaran dan pelajaran yang berharga dalam sebuah kehidupan.

Friday, October 9, 2015

Check-In Iman Lahir Pada 8 Sept 2015


Alhamdulillah, Check-In Iman terbit pada 8 September 2015. Semoga perkongsian dalam buku ini dapat memberi manfaat kepada orang yang membacanya. 

Check-In Iman
RM21
Must Read Sdn. Bhd.
Beli daripada saya, atau secara online di http://bit.ly/CheckInIman

Sunday, August 2, 2015

Inspirasi Berkarya di Fes Maghribi


Perkongsian bertajuk Inspirasi Berkarya di Fes tersiar dalam kolum Ilham Kembara majalah Tunas Cipta keluaran Ogos 2015 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wednesday, April 15, 2015

Hari Puisi Sedunia 2008 di Rabat, Maghribi

Puisi ini saya deklamasikan pada Hari Puisi Sedunia di Universiti Mohammed V, Rabat, Maghribi pada tahun 2008. Saya dan seorang lagi pelajar Malaysia (junior saya); Abdul Azim menjadi wakil pelajar Malaysia mendeklamasikan puisi sempena program itu.

C I N T A N A B I
waktu di Jabal Rahmah,
kutatap lembah kutatap wajah
antara tugu dan kerikil batu
para hujaj memutih dalam ihram
datang lagi Cinta Nabi
air mata akhirnya mengalir
mahabbah sesama ummah
"umatku umpama buih di akhir zaman
... disepuh bayu lalu
menyerpih tak bersatu!"
ada lembah ada wajah
purnama terbelah dua, mukjizat nyata
buktikan badai pakaianmu
meringgis nafsu.
serigala meraung di gunung
pesona akumu dipasung
laut tak berpantai
wangkang menggerai di tanjung
takkunjung sampai
ke Semenanjung.
ada lembah, Hati, Rasa,
Waham, Wasangka, Lembah Insani
Firasat dan Takwa menyatu
Ada wajah menantang wajah.
Puput angin gurun
tergeletar nafiri luka
musafir membebat hayat
dan kasih Nabi
ada waktunya badai
mengenal damai, insan
bangkit dari kekalahannya.
Merawat riwayat
embun dinihari
kuhimpun butir-butirmu
untuk membasuh luka sukmaku.
Seyakin angin menghampar sayap
selepas kembara senyap
malankoli telah pergi
dalam zikir di kelikir hati
setiamu tumbuh, mengukuh peri
Lambai menggapai. Ada wajah
di lembah dalam metafora putih
magis cinta Nabi
tak pernah mati-mati!
(c) K E M A L A
Kuala Lumpur-MADINAH-Kuala Lumpur 2004
(ZIARAH TANAH KUDUP 2006: 133-134)


Tuesday, February 24, 2015

Matlamat Hidup

Hidup di dunia ini perlu ada matlamat. Matlmat seseorang itu telah dicipta oleh ibu bapanya sejak dia dilahirkan. Ada ibu bapa yang mahukan anaknya menjadi seorang doktor, guru, jurutera dan pelbagai jawatan tinggi yang diletakkan. Benarlah seperti yang selalu disebut-sebut bahawa anak yang baru dilahirkan itu umpama kain putih. Kain putih yang kosong tanpa warna dan coretan. Kain ini perlu dicorakkan sebermula ibu bapanya sendiri dan kemudian akan tercorak daripada orang lain di sekelilingnya. 

Namun, matlamat ini bukan cita-cita semata-mata. Kejayaan itu lebih dinilai pada gred dan markah dalam peperiksan, begitu juga pangkat yang digalas ketika melangkah ke alam pekerjaan. Ini hanyalah nilaian kita sebagai manusia yang hina. Sedangkan, ada matlamat lain yang perlu difikirkan bukan sahaja ibu bapa ini, namun anak itu sendiri apabila dia telah mampu untuk berfikir dan menentukan hala tuju dalam hidupnya.

Itulah matlamat untuk hidup dengan rasa bertuhan. Menyedari bahawa Allah itulah Tuhan yang berhak disembah dan mengimani bahawa Muhammad itu utusan Allah. Hidup bertuhan ini yang akan memandu seseorang untuk berada di landasan yang benar. Andai kata dia tergelincir daripada landasan tersebut, sekurang-kurangnya dalam hati yang penuh dosa ini akan teringat-ingat betapa ibu bapanya dahulu meletakkan harapan yang tinggi agar anak kecilnya itu membesar menjadi insan yang bertakwa. Bertakwa itulah yang membuatkan diri anaknya rasa takut untuk melakukan perkara yang dilarang dalam syariat Islam dan dengan takwa inilah akan menimbulkan rasa ingin bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Letakkanlah matlamat hidupmu di dunia ini adalah kejayaan ketika hari akhirat nanti.